Slogan pemasaran dan bungkusan produk yang menarik tidak semestinya menggambarkan keseluruhan formulasi produk. Ketahui cara mengenal pasti taktik greenwashing dan langkah-langkah yang perlu untuk anda membuat pilihan yang lebih bijak.
Definisi Greenwashing
Greenwashing ialah strategi pemasaran yang digunakan untuk membuatkan sesuatu produk kelihatan lebih sihat, lebih selamat atau lebih mesra alam daripada keadaan sebenar. Perkataan seperti "natural", "plant-based", "clean" dan "chemical-free" sering digunakan oleh pengeluar. Reka bentuk bungkusan yang mempunyai elemen alam semula jadi seperti daun, bunga-bungaan dan berwarna hijau juga sinonim dengan strategi pemasaran ini. Kesemua ini adalah ilusi yang digunakan oleh pengeluar untuk mempengaruhi pengguna dalam membuat keputusan.
Mengapa Ia Berkesan?
Sebagai pengguna, kita sering membuat keputusan dalam masa beberapa saat sahaja apabila melihat bungkusan produk di rak. Strategi pemasaran greenwashing berkesan kerana ia mengeksploitasi kepercayaan pengguna dengan menggunakan imej dan perkataan yang berkaitan alam semula jadi dan kesihatan.
Antara taktik greenwashing yang sering digunakan ialah penggunaan istilah pemasaran yang kedengaran bagus tetapi tidak mempunyai definisi yang jelas atau standard yang ketat. Perkataan-perkataan yang digunakan ini boleh memberi gambaran bahawa sesuatu produk itu lebih selamat atau lebih baik untuk kesihatan. Namun dalam banyak keadaan, ia hanyalah alat pemasaran semata-mata yang digunakan bagi mengaburi pengguna.
1) Natural
Tiada peraturan atau undang-undang yang ketat ke atas pengeluar. Produk boleh mengandungi bahan sintetik walaupun dilabel "natural".
2) Plant-Based
Pengeluar boleh mendakwa produk adalah "plant-based" walaupun hanya satu bahan sahaja yang berasal dari sumber tumbuhan. Tidak menjamin yang keseluruhan formulasi adalah semulajadi.
3) Chemical-Free
Secara teknikal, semua benda adalah kimia. Air juga adalah bahan kimia. Istilah ini amat mengelirukan dan tidak tepat dari segi sains.
Istilah seperti "natural", "clean", "non-toxic", "chemical-free" dan sebagainya tidak mempunyai definisi yang jelas dan tiada standard perundangan yang ketat dalam kebanyakkan negara. Maka, pengeluar bebas untuk menggunakan perkataan-perkataan ini walaupun formulasi produk mengandungi bahan-bahan yang meragukan.
Sesetengah bahan tidak perlu dinyatakan secara terperinci pada label kerana dilindungi di bawah kategori "trade secret" atau rahsia perdagangan. Contoh yang paling biasa ialah "fragrance" atau "parfum".
Perkataan ini terlihat seperti satu bahan sahaja pada label, tetapi sebenarnya ia merupakan campuran pelbagai bahan kimia untuk menghasilkan sesuatu wangian. Disebabkan hal ini, pengguna tidak dapat mengetahui dengan tepat semua bahan yang terkandung di dalam produk.
Losyen bayi "Lembut" masih boleh mengandungi "frangrance" walaupun dilabel mesra bayi dan lembut.
Deodorant "Semula Jadi" boleh mengandungi "fragrance" walaupun didakwa sebagai produk semula jadi.
Pengeluar sering menggunakan reka bentuk bungkusan dan istilah-istilah yang mengelirukan pengguna bagi mewujudkan persepsi bahawa produk mereka adalah berasaskan bahan semula jadi dan selamat untuk digunakan. Taktik ini memberi gambaran palsu tentang produk.
1) Warna Dan Imej Alam
Warna hijau, menggunakan imej daun, bunga-bungaan dan buah-buahan pada bungkusan untuk memberi persepsi formulasi menggunakan bahan semula jadi - tetapi selalunya ia tidak menggambarkan keseluruhan bahan yang digunakan.
2) Simbol Semula Jadi
Sering menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai unsur-unsur alam semula jadi seperti "inspired by nature" dan simbol alam semula jadi. Ia boleh mengalihkan perhatian pengguna daripada membaca senarai bahan secara terperinci.
Pernah tak anda melihat produk dengan gambar aloe vera, lavender, sakura atau green tea yang besar pada bungkusan produk? Ini merupakan satu lagi taktik yang sering digunakan oleh pengeluar - menonjolkan satu bahan semula jadi; gambar dan nama bahan dipaparkan dengan jelas pada bungkusan sehingga pengguna menganggap ia merupakan bahan utama.
Namun, apabila kita lihat pada bahagian senarai bahan yang digunakan, bahan tersebut berada di bahagian bawah senarai bahan dan hanya digunakan dalam kepekatan yang sangat rendah. Oleh sebab itu, kita perlu melihat keseluruhan formulasi dengan membaca senarai bahan dan bukan hanya sekadar melihat gambar pada bungkusan produk.
Semakin tinggi kedududkan sesuatu bahan dalam senarai bahan, semakin banyak bahan tersebut digunakan dalam produk. Jangan tertipu dengan gambar yang terdapat pada bungkusan!
Selepas memahami taktik greenwashing yang biasa digunalam, berikut adalah langkah-langkah praktikal yang boleh kita ambil untuk melindungi diri dan membuat pilihan yang lebih bijak.
1) Baca Senarai Bahan
Langkah paling penting adalah dengan membaca senarai bahan yang terdapat pada label produk. Senarai bahan memberikan gambaran yang jelas tentang apa yang sebenarnya terkandung dalam produk. Slogan pemasaran seperti "Natural", "Plant-Based" atau imej-imej alam semula jadi tidak menggambarkan kandungan sebenar produk. Membaca label senarai bahan mungkin kelihatan sukar pada mulanya, tetapi ia adalah langkah terbaik untuk kita membuat pilihan.
2) Simpan Senarai Bahan Yang Ingin Dielak
Jika membaca label senarai bahan terasa agak sukar kerana terlalu banyak nama bahan yang tak biasa kita lihat, anda boleh bermula dengan simpan senarai nama bahan-bahan yang ingin dielak di dalam telefon - terutama bahan yang sering dikaitkan dengan alahan, kerengsaan kulit atau isu kesihatan yang lain. Setiap kali ingin membeli produk, anda hanya perlu menyemak senarai tersebut dan membandingkannya dengan senarai bahan pada label produk. Lama-kelamaan, anda akan mula mengenali bahan-bahan yang sering digunakan dalam produk.
3) Guna Aplikasi Untuk Semak Bahan
Berikut adalah aplikasi yang sering digunakan untuk menyemak senarai bahan:
EWG Skin Deep
Ingredio- Ingredients Scanner
Think Dirty
Aplikasi ini membolehkan kita mendapatkan maklumat berkaitan bahan dan profil keselamatan bahan yang digunakan dalam formulasi produk.
4) Pilih Syarikat Yang Telus
Semakin Fuza belajar tentang bahan-bahan dan formulasi produk, semakin Fuza sedar bahawa tak semua orang mempunyai masa untuk mengkaji setiap bahan satu persatu. Atas sebab itu, Fuza lebih cenderung memilih syarikat/ pengeluar yang:
Telus dengan bahan yang digunakan.
Mempunyai standard kualiti yang jelas.
Bersedia berkongsi maklumat berkaitan bahan dan sumber bahan mentah.
Konsisten dalam penghasilan dan formulasi produk.
Kepercayaan terhadap sesuatu jenama bukan dibina melalui slogan pemasaran semata-mata, tapi melalui ketelusan dan kesedian mereka untuk berkongsi maklumat yang boleh membantu pengguna untuk membuat pilihan yang lebih baik.
Selepas bertahun-tahun belajar tentang bahan, membaca label dan menilai formulasi produk, Fuza akhirnya memilih untuk menggunakan produk yang selari dengan nilai yang Fuza pegang. Pilihan yang bijak bukan sekadar tentang mengelak bahan berbahaya, ia tentang memahami apa yang kita letakkan pada kulit setiap hari dan bagaimana ia memberi kesan terhadap tubuh badan.
Walau apa pun jenama yang dipilih, kita sebagai pengguna tetap digalakkan untuk membaca label, bertanyakan soalan dan membuat keputusan yang terbaik berdasarkan segala maklumat yang telah kita peroleh - bukan hanya bergantung pada slogan pemasaran dan dakwaan pada bungkusan produk semata-mata.