Tak semua bahan yang terdapat dalam produk penjagaan diri dan kosmetik ditulis pada label. Sesetengah bahan terbentuk semasa penghasilan sesuatu produk dan ia boleh memberi kesan kepada kesihatan.
Melalui pengalaman Fuza sendiri, apabila Fuza mula sedar bahawa bahan dalam sesuatu produk boleh memberi kesan kepada kesihatan, Fuza mula belajar untuk membaca label kandungan dan mencari maklumat tentang bahan yang digunakan.
Akan tetapi, tidak semua bahan yang terdapat dalam sesuatu produk akan ditulis secara jelas pada label. Ini kerana, ada bahan tertentu yang terbentuk semasa proses pembuatan produk - bahan ini tidak perlu disenaraikan pada label.
Bahan pencemar inilah yang membimbangkan kerana kebanyakkan pengguna tidak pernah mengetahui tentang kewujudannya. Bahan tersembunyi yang paling banyak dibincangkan adalah 1,4-dioxane.
1,4-dioxane ialah bahan pencemar (contaminant) atau hasil sampingan (by-product) yang terbentuk semasa proses pembuatan bahan kimia tertentu. Ia bukan bahan yang ditambah secara sengaja ke dalam produk - oleh itu, ia tidak ditulis pada label kandungan produk. Agensi kesihatan terkemuka dunia telah mengklasifikasikan 1,4-dioxane sebagai bahan yang berpotensi berbahaya kepada manusia.
1) National Toxicology Program (NTP)
Menurut laporan yang dikeluarkan NTP pada tahun 2016, 1,4-dioxane telah diklasifikasikan sebagai bahan yang berpotensi karsinogen kepada manusia berdasarkan kajian terhadap haiwan.
2) US Environmental Protection Agency (EPA)
US EPA turut menyenaraikan 1,4-dioxane sebagai bahan berpotensi memberi risiko karsinogen kepada manusia berdasarkan bukti kajian yang tersedia.
Karsinogen - bahan, organisma atau agen yang mampu menyebabkan kanser. Bahan-bahan ini berinteraksi dengan sel, menggangu DNA dan fungsi sel seterusnya menyebabkan mutasi yang membawa kepada pertumbuhan sel yang tidak terkawal.
1,4-dioxane terhasil melalui proses ethoxylation. Dalam proses ini, ethylene oxide (bahan yang diklasifikasikan karsinogen) ditambah ke dalam bahan kimia yang lain untuk menjadikan bahan lebih lembut, lebih berbuih, lebih stabil dan mudah untuk bercampur dengan air.
Contoh paling biasa - Sodium Lauryl Sulfate (SLS) merupakan bahan kimia yang merengsakan kulit diproses melalui proses ethoxylation untuk menghasilkan Sodium Laureth Sulfate (SLES) yang lebih lembut pada kulit. Proses pertukaran ini turut menghasilkan 1,4-dioxane sebagai hasil sampingan (by-product).
Terdapat beberapa bahan kimia yang biasanya digunakan dalam penghasilan produk penjagaan diri yang boleh dicemari dengan 1,4-dioxane melalui proses ethoxylation. Berikut adalah senarai bahan yang anda perlu perhatikan ketika memilih produk penjagaan diri atau kosmetik.
Sodium Laureth Sulfate (SLES) - Bahan yang menghasilkan buih, lazimnya digunakan dalam sabun, syampu, pencuci muka dan lain-lain.
Polyethylene Glycol (PEG) - Biasa digunakan sebagai pelembab dan pelarut dalam krim dan losyen.
Polysorbate, Ceteareth, Oleth, Steareth - Bahan pengemulsi yang membantu minyak dan air bercampur dalam formulasi produk.
Oxynol - Digunakan sebagai surfactant, bahan pengemulsi yang membantu minyak dan air bercampur.
Kadang-kadang, tak semua bahan ditulis secara jelas. Berikut adalah petunjuk mudah yang boleh membantu kita untuk mengenal pasti bahan yang mungkin mengandungi 1,4-dioxane.
1) Cari "-eth"
Nama bahan yang berakhir dengan "-eth" seperti Laureth, Ceteareth, Oleth, Steareth menunjukkan bahan telah melalui proses ethoxylation.
2) Cari "PEG"
Bahan dengan awalan PEG. Contoh seperti: PEG-6, PEG-8, PEG-40. Bahan ini juga melalui proses ethoxylation.
3) Cari "xynol"
Nama bahan yang berakhir dengan "-xynol" juga merupakan petunjuk proses ethoxylation. Contoh seperti: Octoxynol-9, Octoxynol-10, Octoxynol-40
Kita membaca label produk adalah untuk membuat pilihan yang lebih baik. Tetapi, tidak semua perkara ditulis secara jelas pada label. Semakin banyak Fuza belajar tentang bahan dan proses penghasilan sesuatu produk, semakin Fuza sedar bahawa ramai pengguna tidak mengetahui apa yang terkandung di sebalik produk yang digunakan setiap hari.
Sebab itu platform ini diwujudkan - untuk berkongsi maklumat, membantu lebih ramai orang untuk memahami tentang bahan, proses penghasilan produk dan perkara-perkara yang tersembunyi di sebalik label.
Kesedaran ini bukanlah untuk membuatkan kita takut, tetapi untuk membantu kita membuat pilihan yang lebih baik, perlahan-lahan mengurangkan pendedahan kepada bahan yang tidak perlu dan kembali kepada bahan yang fitrah dan alami.