Penggunaan produk penjagaan diri dan kosmetik telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa bahan kimia dalam produk boleh terkumpul di dalam badan secara perlahan.
Ramai sanggup berbelanja besar untuk pelbagai produk penjagaan diri demi kebersihan, kesihatan dan keyakinan diri. Majoriti pengguna melihat bahan-bahan kimia ini sebagai sesuatu yang tidak membahayakan kerana ia digunakan secara meluas dalam produk harian dan ramai yang tidak mengetahui bahawa bahan kimia boleh diserap oleh kulit dan masuk ke dalam badan.
Bioaccumulation ialah proses di mana bahan kimia terkumpul sedikit demi sedikit dalam tisu badan seperti lemak, darah, organ dan tulang. Sesetengah bahan kimia mengambil masa yang lama untuk diuraikan dan disingkirkan dari badan.
" Banyak bahan kimia direka untuk tahan lama dan sukar untuk diuraikan. Pendedahan kecil yang berlaku secara berulang setiap hari akhirnya meningkatkan beban toksin di dalam badan"
Dr. Joseph Pizzorno, The Toxin Solution
Pendedahan toksin tahap rendah yang berterusan mengambil masa bertahun-tahun sebelum badan mula menunjukkan simptom tertentu yang perlahan, halus dan sukar untuk dikenalpasti. Malangnya, sebahagian besar pengguna tidak menyedari perubahan yang berlaku dan simptom ini sering dianggap sebagai sesuatu yang "normal" pada masa kini. Berikut adalah simptom-simptom yang sering dihadapi daripada pendedahan toksin.
1) Masalah Hormon
Berlaku ketidakseimbangan hormon pada lelaki dan wanita. Masalah ini mempengaruhi mood, berat badan, kitaran haid dan kesuburan.
2) Gangguan Tidur
Sukar untuk tidur. Sering terjaga pada waktu malam dan masih keletihan walaupun telah mendapat tidur yang cukup.
3) Masalah Kulit dan Alahan
Kulit menjadi sensitif. Naik ruam, gatal-gatal, kulit kering, ekzema atau reaksi alahan yang berulang.
4) Migrain dan Sakit Kepala
Migrain dan sakit kepala yang kerap tanpa sebab yang jelas.
Kebanyakkan kajian toksikologi lebih tertumpu kepada keracunan akut (pendedahan tinggi). Keracunan akut biasanya lebih mudah dikenalpasti kerana simptomnya lebih jelas dan berlaku dalam masa yang singkat. Pendedahan rendah yang berterusan kurang dikaji kerana kesannya tidak kelihatan dalam masa terdekat dan simptom-simptom keracunan sukar untuk dikenalpasti.
Selain itu, kajian toksikologi lebih menjurus kepada penilaian kesan satu bahan kimia pada satu masa. Sedangkan manusia pada zaman moden terdedah kepada pelbagai jenis bahan kimia secara serentak - bukan satu bahan pada satu masa. Walaupun manusia mempunyai sistem detoksifikasi semula jadi, pendedahan manusia kepada pelbagai jenis toksin menjadikan badan kini berdepan dengan bebanan toksin yang jauh lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.
Dr Joseph Pizzorno dalam The Toxin Solution menyatakan bahawa banyak kajian menunjukkan pendedahan toksin berkait rapat dengan peningkatan penyakit kronik. Walaupun jumlah pendedahan kecil, pendedahan kepada toksin yang berterusan setiap hari boleh menjejaskan tubuh badan melalui beberapa mekanisma:
1) Megganggu Enzim
Enzim membantu proses metabolisma, tindak balas kimia dalam badan, penghasilan tenaga, penghadaman dan lain-lain. Kehadiran toksin menggangu fungsi enzim, menjadikan proses kurang efisien.
2) Merosakkan Organ
Hati, sistem penghadaman dan buah pinggang merupakan organ utama bagi penyingkiran toksin. Pendedahan berpanjangan menyebabkan organ menaggung beban toksin yang tinggi seterusnya mengurangkan keupayaan untuk detoksifikasi dan merosakkan organ.
3) Mengganggu Membran Sel
Setiap sel mempunyai membran sel yang berfungsi untuk komunikasi dan pertukaran bahan. Toksin larut lemak "melekat" pada membran sel. Ini mengganggu komunikasi antara sel. Sel tidak dapat memberi atau menerima isyarat dengan betul - termasuk isyarat hormon dan nutrien.
4) Mengganggu Hormon
Sesetengan bahan kimia boleh mengganggu sistem hormon dengan meniru, menyekat atau menghalang fungsi hormon semulajadi. Bahan kimia seperti Paraben (bahan Xenoestrogen) - meniru hormon estrogen dan mengganggu keseimbangan hormon, sistem reproduktif dan metabolik tubuh,
Xenoestrogen - bahan kimia luar yang boleh meniru hormon estrogen dalam badan. Apabila xenoestrogen berinteraksi dengan reseptor estrogen, ia boleh mengganggu keseimbangan hormon, mengganggu sistem reproduktif dan mengacau sistem metabolik.
Kesedaran bermula apabila kita mula memahami apa yang kita gunakan setiap hari. Kita mungkin tidak mampu untuk menghalang sepenuhnya toksin daripada masuk ke dalam badan, tetapi kita masih boleh untuk mula mengurangkan pededahan yang tidak perlu - sedikit demi sedikit.